Luasnya Ilmu Allah

Allah telah berfirman di dalam Al-Quran:

Katakanlah, "Sekiranya lautan itu menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habisnya ditulis kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun datangkan tambahan sebanyak itu pula". (Surah Al-Kahf : Ayat 109)

Persoalannya ilmu merupakan perkara asas yang diperlukan di dalan hidup manusia. Sejak kelahiran Nabi Adam AS lagi Allah telah menjelaskan dan mengajarkan kepada manusia tentang keilmuan. Zaman yang berubah dengan perkembangan ilmu tidak dapat di sekat. Kita telah melihat begitu banyak peninggalan sejarah yang membuktikan perkembangan ilmu yang berterusan.

Hari ini pula dengan kecanggihan teknologi telah mengubah kehidupan insan. Sama ada menjadi lebih baik atau lebih hina, bergantunglah bagaimana ilmu itu diterima dan yang lebih penting ianya dilaksanakan. Keutamaan sebenarnya ialah ilmu yang dikembangkan itu mampu memberi satu peringatan dan renungan kepada insan untuk menilai dan meneliti bahawa segalanya datang dari suatu kuasa yang Maha Besar. Keizinan-Nya memberikan kekuatan kepada insan untuk memikir, mengolah dan mencipta sesuatu. Hanya insan yang memikir sahaja akan dapat mengenal dan memahami serta menerima dengan hati yang tulus. Tidak mungkin segalanya berlaku kerana kebetulan, secara semulajadi (natural) atau fenomena alam.

Lihat firman Allah dalam Al-Quran:

"Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah Al-Mu'min : Ayat 57)

Ilmu yang dilontarkan kepada manusia terlalu kecil berbanding penciptaan manusia itu sendiri. Apa lagi perkara-perkara yang dicipta manusia, Sekiranya penciptaan manusia itu sendiri kecil mana mungkin manusia yang kecil mampu mencipta sesuatu yang lebih besar melepasi pemikiran dan ideanya.

Peringatan dari Al-Quran amat perlu diperhatikan. Bukan sekadar membaca tapi memahami, menghayati, melaksana dan akhirnya kembali kepangkuan Ilahi dengan keredhaan-Nya.